Ahad, 15 Januari 2012

Menopaus ancaman wanita

Menopaus atau putus haid adalah fenomena alami yang bakal dilalui oleh setiap wanita. Secara biologi, apabila usia meningkat, fungsi ovari akan menurun dan seterusnya hormon estrogen akan tergugat. Sehingga ke satu tahap dimana ia tidak mampu lagi untuk mengeluarkan telur dan menyebabkan kehadiran haid terhenti. 
Ramai kalangan wanita berasa bimbang berhadapan dengan gejala menopaus. Cepat atau lamba, berbeza diantara individu. Ada yang mendapat menopaus pada usia seawal 40an.

Satu kajiselidik yang dijalankan di Kuala Lumpur pada tahun 1989 mendapati, 48% wanita mengalami menopaus pada usia 40 - 45 tahun, 26% (46-50 tahun), 24% (51 - 55 tahun) dan 2% (56-60 tahun).

Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Datuk Dr. Nik Mohd Nasir Nik Ismail, menopaus akan menyebabkan berlaku gejala tertentu yang kurang selesa bertahun-tahun lamanya. Malah seringkali wanita berkenaan tidak menyedari dirinya melalui fasa menopaus.

Antara gejala menopaus yang dijangkakan adalah:
  • Kepanasan (hot flashes) dari dada naik ke muka dan kepala yang datang secara tiba-tiba. Ia boleh berlaku dalam jangkamasa beberapa saat hingga ke enam minit.
  • Berpeluh pada waktu malam. Boleh mengganggu keselesaan dan kurang tidur yang membawa gejala cepat marah dan kemurungan.
  • Kekeringan pada bahagian faraj. Hormon estrogen mempengaruhi organ reproduksi, dimana lapisan faraj menjadi nipis dan kering. Kekurangan pelincir boleh menyebabkan rasa sakit ketika hubungan intim bersama suami.
  • Rasa sakit-sakit badan (otot), tulang dan sendi. Senaman ringan seperti berjalan dan jogging dapat membantu dan menguatkan otot dan tulang.
  • Osteoporosis (tulang rapuh). Hormon estrogen merangsang sel osteoblas yang membentuk tulang. Kekurangan hormon ini boleh mengakibatkan tulang poros.
  • Kulit kering, berkedut dan iritasi
  • Masalah pundi kencing, misalnya terkencing ketika batuk
  • Masalah koronari jantung
Wanita yang melalui fasa ini patut menyedari perubahan fisiologi mereka dan mendapatkan bantuan supaya memperolehi kualiti hidup yang lebih baik. Antara gejala awal yang mudah dikesan adalah kedatangan haid yang tidak menentu iaitu kadangkala banyak dan kadangkala sedikit.

Saranan terbaik untuk menikmati kualiti hidup sehat adalah dengan mengekalkan kecergasan.
  • Lakukan aktiviti riadah seperti senaman ringan, jogging sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 30 minit setiap sesi.
  • Mengamalkan pengambilan makanan seimbang.
  • Berhenti merokok dan elakkan mengambil minuman keras.
  • Berfikiran secara positif
  • Melakukan pemeriksaan pap smear
  • melakukan pemeriksaan payudara
  • Mengambil “supplement” vitamin seperti multivitamin,EPO atau manjakani/kacip fatimah.
Gejala-gejala menopaus boleh diatasi dengan kaedah rawatan terapi penggantian hormon (HRT). Terapi dimaksudkan boleh melibatkan aplikasi hormon estrogen dan progesteron. Doktor akan melakukan beberapa ujian untuk menentukan tahap kesihatan dan jenis hormon yang sewajarnya.

Diantara ujian penilaian sebelum memulakan rawatan HRT termasuk:

  • Pemeriksaan menyeluruh termasuk payu dara dan pemeriksaan pelvis
  • Papanicolaou smear
  • Mammogram
  • Fasting lipid profile
  • Fasting glucose level
  • Liver function test

Walau bagaimanapun ramai wanita yang enggan melakukan terapi HRT kerana tidak mahu berhadapan dengan kesan sampingan. Diantara yang pernah dilaporkan terbahagi kepada dua:

Kesan sampingan ringan:

  • Payu dara sakit bila disentuh
  • Kekejangan
  • Membengkak
  • Murung
  • Loya dan muntah
  • Sakit kepala
  • Pendarahan dari faraj
Kesan sampingan berat:
  • Barah payu dara
  • Serangan sakit jantung
  • Angin akhmar (stroke)
  • Barah rahim bagi pengambilan estrogen dalam tempoh masa lama

Tiada ulasan: