Isnin, 21 Jun 2010

PERKESO Sumbang Dialisis

MAA-MEDIcare Kidney Charity Fund baru-baru ini telah menerima cek berjumlah RM240,000 dari Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO) untuk menambah 6 lagi unit mesin dialisis baru di pusat-pusat dialisis di Kajang, Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

Cek telah diserahkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan kepada wakil MAA-MEDicare Charity Fund Datuk Iskandar Michael Abdullah di Wisma MAA-MEDIcare disini.

MAA-MEDIcare Kidney Charity Fund adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengendalikan 12 buah pusat dialisis di seluruh negara. 95% daripada dana pertubuhan ini diperolehi hasil dari sumbangan orang ramai.

Kos bagi setiap sesi rawatan dialisis boleh mencapai RM168. Jika seorang pesakit perlu menjalani rawatan sebanyak 3 kali seminggu dan ini memerlukan perbelanjaan sekitar RM2500 sebulan bagi seorang pesakit.

Khamis, 3 Jun 2010

Kesan Awal T21

T21 (Trisomy 21) adalah istilah yang diberikan kepada keganjilan pada kromosom ke 21 dan dikaitkan dengan gejala Sindrom Down. Secara keseluruhan, kebarangkalian mengalami sindrom ini adalah 1 dalam 800 kelahiran dan risiko adalah lebih tinggi dengan bertambahnya usia ibu.

T21 boleh didiagnos semasa kehamilan dengan melakukan ujian darah, ultrasonografi terperinci atau analisis cecair ketuban. Namun kebanyakan mesin ultra sound hanya boleh mengesan selepas kehamilan mencapai usia 16 minggu.

Ujian pengesahan T21 boleh dilakukan dengan mengambil sample darah dan air ketuban dari fetus yang kemudiannya dihantar ke makmal di Singapura. Ini melibatkan kos antara RM2,300 hingga RM4,600 selain mengambil masa sehingga seminggu. Namun itu semua bakal menjadi sejarah dalam dunia perubatan negara bila penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan teknologi baru yang di namakan sebagai Sistem Pengesan Kehamilan Trisomy 21 (T21).

Berbanding dengan mesin sedia ada, mesin T21 UTM ini mampu mengesan masalah genetik pada usia kehamilan lebih awal iaitu 8 minggu. Ini penting kepada wanita untuk mengetahui sebarang masalah keganjilan genetik ; lantas memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan atau menggugurkannya.

Sistem baru ini  mengguna pakai perisian dan perkakasan kos rendah dan boleh disepadukan dengan mesin diagnostik ultra sound sedia ada. Ia dijangka boleh dijual pada harga dibawah RM5,000 seunit. Lantaran itu sistem ini mampu dimanfaatkan oleh lebih 25,000 doktor dan 3,000 klinik dan pusat perubatan negara ini dengan jumlah 600,000 kehamilan setahun.

Selepas menjalani peringkat ujian keatas 1000 wanita mengandung di UTM, Skudai dan HUSM, Kelantan; kita berharap ia dapat dimajukan lagi dan seterusnya boleh diketengahkan ke pasaran antarabangsa.