Ahad, 22 Ogos 2010

Balik Kampung Versi 2010

Musim balik kampung dah nak tiba lagi! Seperti musim-musim yang lalu, versi Raya 2010 kali ini pasti ada cerita menarik. Kita sama-sama tunggu dan saksikan nanti.

ets,eletric train services,KTM ETSSeperti biasa, bila tiba sahaja bulan Ramadhan maka bermulalah cerita ulat tiket, bas tambahan dan paling top KEMALANGAN JALANRAYA. Nampaknya tahun ini pehak media ada sedikit 'advance'. Awal-awal lagi mereka dah siarkan berita-berita tragedi jalanraya setiap hari (bukan lagi HAMPIR setiap hari!); biarpun OPS SIKAP belum dilancarkan.

Tak kiralah apa jenis perayaan pun, asal 'musim balik kampung' saja, jumlah kes kemalangan akan meningkat. Rasanya seperti sudah tiada jaminan keselamatan di jalanraya kita.

Bagi yang memiliki kereta biasanya tidak akan memilih pengangkutan awam. Alasannya tak nak 'patah kaki' bila dah tiba di kampung; mudah untuk bergerak dan beraya. Namun ramai pula yang akan rasa kesal dan mengeluh bila terpaksa meredah kesesakan teruk sepanjang lebuhraya. Keletihan dan mengantuk jangan nak kata. Apa lagi jika rakan atau pasangan anda tidak bertindak sebagai pemandu gantian...

Seimbas lalu, bas ekspres dirasakan agak selamat. Tetapi bila melihat rekod kemalangan di musim perayaan, terasa ngeri pula! Manakan tidak, sekali berlaku kemalangan, berpuluh mangsa cedera dan maut. Maknanya, jika berlaku kemalangan yang naik kereta akan masuk hospital satu family dan kalau naik bas masuk hospital ramai-ramai!

Pelbagai langkah diperkenalkan JPJ, namun hasilnya seperti tiada apa yang berbeza. Malah kajian pehak MIROS mendapati, amalan penggiliran pemandu kedua yang diamalkan sekarang tidak membantu mengurangkan kadar kemalangan. Secara logiknya, bila pemandu kedua turut berada didalam bas, mereka tidak berehat sewajarnya. Walau apa pun, hasil kajian MIROS ini memberi peluang kepada kita untuk mencari kaedah yang lebih baik.

Nampaknya, rekod pengangkuta udara dan keretapi masih agak membanggakan. Cuma kurang mendapat perhatian. Agaknya kerana kos yang agak tinggi untuk tiket kapal terbang dan masa yang lebih panjang jika menaiki keretapi selain terpaksa mengambil teksi dan bas lain selepas tiba di stesen.

Saya sendiri belum pernah menaiki keretapi untuk perjalanan jauh ( selain komuter di Lembah Klang ), namun berfikiran KTM telah mula memecahkan hambatan tempuh perjalanannya dengan memperkenalkan ETS bagi laluan Seremban - Ipoh. Saya fikir anda patut mencubanya jika destinasi anda berada didalam zon ini; apatah lagi dengan tambang pengenalan yang cukup kompetitif.