Ahad, 3 Januari 2010

Cegah Kemalangan Industri

Kemalangan di tempat kerja atau kemalangan industri sememangnya satu pengalaman yang ngeri. Anda mungkin dilindungi skim Perkeso atau insuran kemalangan, tetapi kesakitan, kecederaan dan kehilangan anggota tiada galang gantinya dengan wang ringgit.



Bagi yang pernah mengalami insiden sedemikian, ianya merupakan sejarah hitam dalam karier. Anda sahaja yang tahu kesakitan yang dialami. Rakan yang lain hanya tumpang ngeri dan melupakan begitu sahaja selepas seketika.




Statistik yang dikeluarkan oleh pertubuhan Perkeso bagi tahun 2007 secara keseluruhan menunjukkan sebanyak 56,339 kes kemalangan industri telah dilaporkan. Jumlah ini mungkin lebih tinggi kerana terdapat kemungkinan kes yang tidak dilaporkan atas sebab tertentu.


Kecuaian sering dikaitkan dengan kemalangan. Mengabaikan ciri keselamatan adalah suatu kesilapan. Pematuhan procedur keselamatan ketika menjalankan mesin perlu dititikberatkan. Namun kemalangan tetap boleh berlaku. Adakah ini dianggap sebagai NASIB? Jawapannya: YA dan TIDAK.


Tahap kewaspadaan (alertness) sangat bergantung kepada banyak faktor, antaranya: persekitaran, masa dan fizikal dan mental individu itu sendiri. Pada kebiasaannya, tahap 'alertness' akan menurun selepas sekian jam letih bekerja. Faktor masa bekerja juga penting terutamanya pada waktu 'mengantuk' iaitu diantara tengah malam hingga 4 pagi dan 2 hingga 4 petang.

Penyediaan dan pematuhan memakai peralatan keselamatan bersesuaian amat penting. Namun ciri keselamatan dan teknologi pemesenan sering tidak mendapat perhatian sewajarnya. Agak jarang kita temui majikan yang peka dengan perubahan teknologi dan sanggup melabur semata-mata atas faktor keselamatan pekerja, kecuali selepas kemalangan berlaku.