Rabu, 13 Jun 2007

1 Juta Wanita Malaysia Ahli Kelab 3G...?

Putrajaya, 13 Jun 2007: Lebih sejuta wanita berusia antara 25 hingga 64 tahun (18.8%) di negara ini dikategorikan sebagai gemuk, sekali gus terdedah kepada risiko mengalami pelbagai penyakit kronik, termasuk serangan jantung, diabetes dan strok.

Kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan tahun lalu mendapati 20% penduduk dewasa dan 21% kanak-kanak di negara ini mengalami masalah 3G; gebu, gemuk dan gempal. Fakta menunjukkan, peratusan wanita mengatasi golongan lelaki.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, kajian itu mendapati bilangan penduduk gemuk di Malaysia kini kedua paling ramai di Asia Tenggara. Ia merupakan 19% dari golongan wanita dan 14% (kira-kira 850,000 orang) dari golongan lelaki.

Gemuk atau obesiti adalah keadaan apabila kadar lemak dalam tubuh seseorang melebihi berat jisim ideal.

Secara fizikalnya, sememangnya tubuh wanita mengandungi lemak yang lebih tinggi menjadikan mereka lebih berisiko untuk menjadi gemuk berbanding lelaki.

Masalah 3G dikalangan masyarakat negara ini sebenarnya semakin serius. Ia tidak lagi dianggap sebagai lambang sehat dan sejahtera sebagaimana tanggapan masyarakat terdahulu, sebaliknya petanda awal mengundang pelbagai penyakit kronik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan, gemuk juga meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payu dara, kanser kolon, kanser prostat, uterus, buah pinggang dan penyakit pundi hempedu menerusi perubahan hormon akibat kegemukan.

Tiada ulasan: