Jumaat, 25 Mei 2007

RAMAI RAKYAT MALAYSIA DIANCAM MANDUL JIKA OBESITI



KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Semakin ramai rakyat Malaysia khususnya lelaki bakal berhadapan dengan risiko kemandulan setiap tahun berikutan peningkatan kes obesiti dan pengambilan makanan tidak sihat di negara ini.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Dr K.Thanikasalam berkata tanda-tanda awal kebimbangan itu sudah boleh dilihat sekarang apabila jumlah kiraan sel sperma lelaki yang obesiti sekarang merosot sejak 50 tahun lalu dipercayai berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang.

"Biasanya, obesiti berpunca daripada trend pemakanan masyarakat sekarang yang tidak sihat kerana cenderung untuk mengambil makanan yang mengandungi kandungan lemak tinggi seperti nasi lemak, ayam dan sebagainya sebagai sajian utama.

"Selain pemakanan, stres dan tekanan di tempat kerja juga akan menyebabkan kemerosotan bilangan sperma berlaku kerana proses penghasilannya terganggu," katanya kepada Bernama di sini.

Dr Thanikasalam dari Pusat Pakar Wanita Srivari di sini berkata kanak-kanak juga menghadapi risiko itu berdasarkan statistik sekarang bahawa kira-kira 25 hingga 30 peratus kanak-kanak di Malaysia adalah obes.

"Ini kerana kanak-kanak sekarang amat gemar mengambil makanan segera hampir setiap hari dengan kandungan lemak serta kolesterol yang tinggi hingga menyebabkan obesiti," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyokong cadangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya iklan makanan segera di televisyen diharamkan supaya pengaruh kepada orang ramai untuk mengambil makanan seumpama itu berkurangan.

Katanya selain itu bahan makanan mentah seperti ayam di pasaran juga "tidak sihat" kerana mengandungi kandungan bahan kimia tinggi kerana ternakan itu disuntik untuk menjadikan ayam itu bersaiz lebih besar daripada biasa.

"Orang ramai harus mengelakkan makan ayam berlebihan dan bertukar kepada menu lain seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan," katanya.

Menurutnya masyarakat Malaysia perlu mengubah tabiat pemakanan bagi memastikan penyakit akibat makanan yang tidak sihat ini berkurangan.

--BERNAMA

Tiada ulasan: