Selasa, 15 Mei 2007

Awasi AGEs Dalam Makanan Kegemaran Anda!

Para penyelidik dari Sekolah Perubatan Mount Sinai, New York mendapati cara penyediaan makanan banyak mempengaruhi kesihatan berbanding bahan makanan itu sendiri.

Daging dan keju yang digoreng atau panggang didapati mengandungi sejenis toksin dikenali sebagai "advanced glycation end products" (AGEs). AGEs adalah hasil rantaian reaksi kimia dan dikaitkan dengan masalah keradangan, insulin, diabetis, buah pinggang, saluran darah dan alzheimer.

Selain memanggang dan menggoreng, AGEs juga terhasil apabila makanan diseteril atau dipasturkan.

Penyelidik turut mendapati, mereka yang sihat boleh mencapai tahap AGEs yang tinggi di dalam darah. Namun, mereka yang berusia memiliki AGEs lebih tinggi dari yang muda.

Ini dibuktikan apabila hasil kajian yang dijalankan terhadap 172 lelaki dan wanita sihat dari kelompok usia antara 18 hingga 45 tahun dan 60 hingga 80 tahun mendapati tahap AGEs adalah 35% lebih tinggi dikalangan kelompok usia 64 tahun keatas berbanding mereka yang berusia 45 tahun!

"Pengambilan terlalu banyak makanan dipanggang dan bergoreng memberikan jumlah AGEs yang tinggi dan ia bersifat toksik. Anda patut berhati-hati, ia sama bahaya seperti mengambil garam, lemak tepu, kolesterol dan merokok" kata Dr. Helen Vlassara, ketua penyelidik, Pengarah Jab. Diabetes & Penuaan Sekolah Perubatan Mount Sinai.

Kesimpulannya, semakin banyak pengambilan makanan mengandungi AGEs, semakin tinggi tahap AGEs didalam darah dan peningkatan risiko terhadap pendedahan untuk mendapat penyakit.

Sumber Berita Minggu, 6/5/2007

Tiada ulasan: