Rabu, 31 Mac 2010

Awas 'Virus Cuaca'

Nampaknya sejak awal minggu ini, cuaca mula kelihatan berubah. Hujan turun lebih kerap dan tidak menentu. Ada kalanya cuaca terik berubah menjadi mendung dan hujan pada lewat tengahari. Perubahan mendadak sedemikian seringkali membawa petanda kurang sehat bagi sesetengah orang. Flu, batuk dan jangkitan kerongkong adalah gejala biasa yang mudah tersebar dalam suasana sedemikian.

Agak merisaukan jika gejala demikian dihidapi anak-anak yang masih kecil. Apatah lagi jika pesakit tidak mampu berinteraksi dengan baik tentang masalah yang dihadapi. Ada kes yang terpaksa dirujuk semula ke klinik. Misalnya; anak yang demam dan batuk dibawa semula berjumpa doktor kerana gejala demam berulang. Kemudiannya pesakit dikesan menghidap jangkitan tonsil.

Flu, batuk ringan dan keresangan kerongkong sering dianggap sebagai penyakit remeh. Namun ia boleh menggugat keselesaan dan tahap kesehatan anda jika tidak diberi perhatian. Ia sangat mudah tersebar menerusi udara kecuali antibodi anda cukup kuat melawan jangkitan virus ini. Cara terbaik untuk melindungi diri dan keluarga anda adalah dengan mengamalkan kaedah pencegahan.

Ada beberapa tips mudah yang boleh diamalkan untuk mengawal penyebaran virus flu dan batuk:

  • Kerap cuci tangan dengan cara yang betul: Virus boleh berjangkit melalui sentuhan. Anda boleh dijangkiti jika menyentuh objek yang tercemar, misalnya telefon yang telah digunakan oleh seorang penghidap.  

  • Tutup mulut dan hidung ketika bersin / batuk: Virus mudah tersebar melalui udara. Gunakan tisu dan segera buang selepas diguna.

  • Elakkan sentuhan manja (?): Virus batuk dan flu masuk kedalam tubuh melalui mata, hidung dan mulut. Elakkan menyentuh muka tersayang / anak anda jika anda sedang menghidap.

  • Minum secukupnya: Elakkan dihydrasi. Sebagai panduan, perhatikan warna urine anda; jika agak kuning gelap, petanda anda perlu minum lebih banyak air.

  • Sayur dan buah: Makan lebih banyak sayur dan buah berwarna hijau, kuning dan merah gelap. Phytochemical banyak terdapat didalam sayuran dan bersifat antioksidan baik untuk kesihatan. 

  • Minum yogurt: Amalan minum yogurt rendah lemak setiap hari mampu menurunkan risiko jangkitan batuk dan flu sehingga 25%. Bakteria baik yogurt dikatakan dapat merangsang sistem imunisasi tubuh.

  • Rehat secukupnya: Patuhi nasihat doktor anda dan rehat secukupnya.
Beringat sebelum kena. Mencegah lebih baik dari mengubati. Amalkan gaya hidup sehat.

Tiada ulasan: