Isnin, 8 Mac 2010

Awas, Perubahan Cuaca

Umum dapat merasakan cuaca panas dan kering yang melanda negara kita pada masa ini. Fenomena biasa setiap bulan Mac kerana kita berada dalam fasa akhir monsun timur laut. Media turut melaporkan kejadian sawah kontang di negeri-negeri sebelah utara. Manakala bahagian tengah semenanjung turut merasai bahang panas walaupun masih kedapatan hujan turun pada lewat petang dan malam.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), peningkatan suhu melebihi 5°C dari tahap biasa selama 3 hingga 5 hari berturut-turut dikenali sebagai gelombang panas dan boleh menjejaskan kesihatan. Biasanya badan boleh sejuk melalui proses perpeluhan. Namun faktor kesihatan, persekitaran dan fizikal individu boleh mempengaruhi keadaan menjadi sebaliknya.

Golongan pekerja yang bekerja di luar dan atlet adalah diantara yang berisiko berhadapan dengan penyakit berkaitan kepanasan. Diantara gejala yang boleh dihadapi seperti kekejangan otot abdomen, kaki dan tangan, kelesuan, strok panas (hot stroke) dan ruam panas.

Aktiviti fizikal yang berterusan dan perpeluhan boleh menurunkan kandungan air dan garam dalam badan. Anda mungkin berhadapan dengan gejala kejang otot, keletihan, pening, sakit kepala atau pengsan. Adalah dinasihatkan supaya mengimbagi kehilangan air dengan meminum air kosong, air buah atau air isotonik. Elakkan berpakaian sempit dan fabrik poliester dan nylon kerana boleh menghalang peredaran udara. Sebaliknya fabrik kapas boleh membantu menyejukkan badan.

Garam dalam peluh boleh menyebabkan liang peluh tersumbat dan berpotensi untuk mengundang iritasi kulit dan ruam. Basuh peluh atau mandi dengan sabun yang lembut boleh membantu mengelak dan melegakan gejala ini. Kurangkan aktiviti luar jika boleh dan tukarkan aktiviti sukan ke masa yang lebih melegakan.

Tiada ulasan: