Khamis, 3 Jun 2010

Kesan Awal T21

T21 (Trisomy 21) adalah istilah yang diberikan kepada keganjilan pada kromosom ke 21 dan dikaitkan dengan gejala Sindrom Down. Secara keseluruhan, kebarangkalian mengalami sindrom ini adalah 1 dalam 800 kelahiran dan risiko adalah lebih tinggi dengan bertambahnya usia ibu.

T21 boleh didiagnos semasa kehamilan dengan melakukan ujian darah, ultrasonografi terperinci atau analisis cecair ketuban. Namun kebanyakan mesin ultra sound hanya boleh mengesan selepas kehamilan mencapai usia 16 minggu.

Ujian pengesahan T21 boleh dilakukan dengan mengambil sample darah dan air ketuban dari fetus yang kemudiannya dihantar ke makmal di Singapura. Ini melibatkan kos antara RM2,300 hingga RM4,600 selain mengambil masa sehingga seminggu. Namun itu semua bakal menjadi sejarah dalam dunia perubatan negara bila penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan teknologi baru yang di namakan sebagai Sistem Pengesan Kehamilan Trisomy 21 (T21).

Berbanding dengan mesin sedia ada, mesin T21 UTM ini mampu mengesan masalah genetik pada usia kehamilan lebih awal iaitu 8 minggu. Ini penting kepada wanita untuk mengetahui sebarang masalah keganjilan genetik ; lantas memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan atau menggugurkannya.

Sistem baru ini  mengguna pakai perisian dan perkakasan kos rendah dan boleh disepadukan dengan mesin diagnostik ultra sound sedia ada. Ia dijangka boleh dijual pada harga dibawah RM5,000 seunit. Lantaran itu sistem ini mampu dimanfaatkan oleh lebih 25,000 doktor dan 3,000 klinik dan pusat perubatan negara ini dengan jumlah 600,000 kehamilan setahun.

Selepas menjalani peringkat ujian keatas 1000 wanita mengandung di UTM, Skudai dan HUSM, Kelantan; kita berharap ia dapat dimajukan lagi dan seterusnya boleh diketengahkan ke pasaran antarabangsa.

Tiada ulasan: