Sabtu, 30 Ogos 2008

Small Change, Big Difference

Sekali lagi Pak Lah membentangkan bajet beliau, kali ini tentunya untuk tahun 2009.

Kita dapati ada empat perkara utama yang menjurus terus kepada manfaat kesihatan rakyat dan imbalan kepada kakitangan perkhidmatan kesihatan:
  • Kenaikan kadar bayaran insentif pakar perubatan kepada 3,800 pegawai.
  • Kenaikan kadar bayaran insentif kepada pasukan perubatan udara di Sabah dan Sarawak.
  • Pengecualian cukai bagi perubatan radisional seperti akupuntur dan ayuvedic yang pembiayaannya ditanggung oleh majikan. Ini menandakan suatu pengiktirafan keatas perubatan alternatif.
  • DAN, kenaikan duti eksais ke atas rokok sebanyak 3% sebatang; dari 15 sen kepada 18 sen. Ini bermakna, sekotak 20 batang rokok kini meningkat sebanyak 60 sen.
Sebenarnya, apa yang paling menarik disini adalah kenaikan duti rokok. Rokok sering menjadi 'sasaran' setiap kali bujet dibentangkan! Dan ini pastinya menjadikan rakyat (dibaca sebagai 'perokok') seluruh negara menjadi 'sasaran'.

Ahli Jawatankuasa Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Shaari Ahmad Junid berpandangan bahawa kerajaan sepatutnya mengumumkan kenaikan cukai sehingga 70%. Namun, kita yakin ini tidak akan berlaku kerana langkah sedemikian hanya akan mendatangkan 'padah' kepada kerajaan.

Nampaknya peningkatan cukai ini langsung tidak membimbangkan syarikat-syarikat pengeluar rokok. Malah
Pengarah Perhubungan Korporat Philip Morris (M) Sdn Bhd, Marlene Kaur berkata, pehaknya tidak akan menyerap kenaikan duti eksais berkenaan; sebaliknya ia akan ditanggung oleh pengguna. (Berita Harian, Sabtu 30/08/2008).

Kenyataan beliau nampaknya turut menggambarkan pendirian beberapa syarikat pengeluar rokok lain yang mengesahkan perubahan pada harga rokok dijangka berlaku sekitar minggu hadapan.

Saya tidak pasti samada langkah syarikat rokok ini boleh kita tafsirkan sebagai 'sokongan' terhadap langkah Pak Lah yang ingin mengekang gejala sosial dan menggalakkan gaya hidup sehat; terutamanya di kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Namun Shaari menganggap harga rokok masih terlalu murah dan menjangkakan kerajaan terpaksa menanggung kos lebih tinggi bagi merawat pelbagai penyakit akibat tabiat merokok.

Saya teringat hasil kajian yang di jalankan oleh
University of Cambridge dan Medical Research Council. Kajian yang di ketuai oleh Professor Kay-Tee Khaw mengambil masa lebih sedekat ( 1993 ~ 2006 ) dan melibatkan seramai 20,000 orang berusia 45 ~ 79 tahun ini merumuskan amalan cara hidup sehat dapat meningkatkan usia sehingga 14 tahun!

Tidak merokok, mengelak minuman beralkohol, bersenam dan makan 5 hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari adalah diantara saranan beliau. Menurut beliau lagi, amalan sehat ini dapat menghindarkan diri dari penyakit perkaitan kardiovaskular (jantung) dan kebanyakan penyakit kronik lain.

Jadi sewajarnya peningkatan cukai rokok ini diterima dengan hati terbuka. Dan inilah peluang terbaik untuk kita mula menghindarkan diri dari tabiat merokok, apatah lagi dengan ketibaan Ramadhan yang mungkin bermula lusa.

1 ulasan:

Unknown berkata...

bang rokok sebatang..........