Sumber: Buletin Utama TV3 |
Kejadian lecur akibat disimbah asid bukan lagi cerita yang asing bagi masyarakat Malaysia. Banyak kes dikesan melibatkan isu rumah tangga dan cemburu. Misalnya di Pahang seorang isteri disimbah asid gara-gara menolak keinginan suami untuk melakukan hubungan seks. Dan di Kelantan pula suami disimbah asid kerana berhasrat untuk berkahwin lagi. Manakala kejadian terbaru di sekitar Lembah Kelang pula belum dapat di pastikan motif sebenar, tetapi ada kemungkinan turut melibatkan sentimen seumpama atau psaiko.
Walaupun Polis telah berjaya membuat dan menyebarkan lakaran wajah suspek, namun ia belum berjaya ditangkap. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata dua suspek bertubuh kurus dan gempal berketurunan India, berusia sekitar 20an dan 30an itu berkenderaan motosikal jenis Honda EX5 warna hitam. Beliau juga menyebut bahawa asid yang digunakan suspek adalah jenis yang sukar diperolehi di pasaran.
Untuk lebih mensensasikan lagi berita akhbar, seorang pemuda yang memiliki wajah mirip lakaran berkaitan telah tampil ke balai Polis Petaling Jaya setelah dinasihatkan keluarga. Namun beliau di bebaskan sejurus selepas itu kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan dengan kejadian.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pula bercadang untuk menggubal undang-undang khas mengenai penggunaan, penyimpanan dan penjualan asid.
Ini mungkin dilihat sebagai perkembangan positif dikalangan masyarakat umum, tetapi bagaimana pelaksanaannya, terutamanya di sektor industri. Ketirisan boleh berlaku di sektor ini; misalnya kecurian oleh pekerja industri dan pastinya akan turut mengheret majikan kerana didakwa gagal menyelia dengan baik.
Bagaimana pula dengan penoreh getah? Kerana kes-kes terdahulu lebih banyak melibatkan asid cuka getah yang dilihat hampir tiada penyeliaan di peringkat pekebun kecil.
Apa yang lebih penting adalah akta jenayah itu sendiri. Jika akta kawalan bahan bahaya diperketat tetapi hukuman keatas penjenayah tidak digubal, ia tetap tidak menakutkan pelaku dan nasib mangsa tetap tidak terbela.
Bantu kami jika anda bersimpati dengan mangsa. Hubungi Rakan Cop di talian 03-2115999 atau SMS ke 32728 untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan