Selasa, 15 November 2011

Tips otak cerdas

Sedar atau tidak, rupa-rupanya berat otak cuma dua  peratus dari keseluruhan berat tubuh kita, namun ia memerlukan 20 peratus jumlah kalori untuk berfungsi dengan sempurna. Bekalan glukos berterusan penting untuk memastikan organ ini berfungsi dengan efisien.

Kajian mendapati, otak adalah organ pertama menyerap nutrisi dari makanan yang diambil. Oleh itu, diet yang sempurna  dan seimbang sangat penting untuk perkembangan kanak-kanak.

Asid lemak Omega 3, DHA dan EPA sangat penting untuk pertumbuhan otak. Boleh diperolehi dari ikan tuna dan kembung, namun ikan salmon adalah sumber terbaik. Mereka yang makan salmon dua kali seminggu dipercayai mempunyai otak yang tajam.

Kuning telur kaya dengan chloline, sejenis asid amino; sangat penting untuk pertumbuhan otak. Manakala mentega kacang pula kaya dengan vitamin E dan  antioksida yang melindungi membran saraf. Manakala thiamine penting dalam membantu otak dan sistem saraf menukar glukos kepada tenaga.

Pengambilan bijirin penuh termasuk oat sangat digalakkan kerana ia kaya dengan serat yang dapat mengawal pelepasan glukos. Oat kaya dengan vitamin B, E, potassium dan zink yang dapat membantu otak berfungsi pada tahap optimum.

Buah-buahan beri seperti strawberi, blue berry dan cerry memang diketahui mengandungi antioksidan yang kuat dan kaya dengan vitamin C. Pilihlah buah yang elok dan segar, lebih terang warnanya, lebih tinggi kandungan nutrisinya.

Jangan lupa ambil lebih banyak sayur-sayuran dari pelbagai jenis dan warna. Selain kandungan serat, ia kaya dengan antioksidan, zat, vitamin dan mineral yang bagus untuk membina imuniti.

Makanan bersaskan tenusu seperti susu dan dadih kaya dengan protin, vitamin B dan enzim penting untuk pertumbuhan tisu-tisu otak dan neurotransmitter. Sebahagian kanak-kanak tidak menggemari rasa susu, jadi gunakanlah kreativiti anda menghias hidangan dengan kekacang, buah-buahan dan beri sebagai tarikan.

Kebijaksanaan anda menyediakan menu dapat memastikan anak-anak menerima bekalan nutrisi yang lengkap dan seimbang untuk perkembangan fizikal dan minda secara optimum.



Rabu, 5 Oktober 2011

Bahaya Buah Peram

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati pengguna supaya tidak memakan buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide kerana terdapat maklumat yang cukup mengenai bahayanya kepada kesihatan.


Calcium carbide mempunyai ciri-ciri penyebab kanser dan boleh mengakibatkan gangguan saraf. Ia boleh menyebabkan bunyi berdesing dalam telinga, kebas dan penyakit saraf periferal. Jika wanita hamil memakan buah yang telah diperam bersama carbide, ada kemungkinan bayi yang akan lahir berkeadaan cacat.


Adalah tidak wajar Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan carbide selamat untuk dimakan sebelum menjalankan siasatan. Sekadar menyebut bahawa amalan yang sama dilakukan di negara-negara lain bukan bermakna ianya selamat.


Di India, kerajaan telah mengharamkan penggunaannya di bawah Akta Pencegahan Pencemaran Makanan, dan terdapat beberapa laporan media bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide telah dirampas dan dimusnahkan.

Dalam keadaan biasa, buah-buahan akan masak hasil tindak balas hormon ethylene yang dihasilkan secara semula jadi dalam buah. Tetapi penggunaan calcium carbide mengeluarkan gas acetylene yang mudah meruap dan meletup walaupun pada kepekatan yang rendah berbanding ethylene.


Kementerian Kesihatan perlu menyedari bahawa khasiat makanan dalam buah-buahan akan berkurang apabila ia masak ranum secara tiruan.


Buah-buahan yang menjadi ranum dengan menggunakan gas carbide akan mengalami tindak balas kimia yang berbeza berbanding buah-buahan yang ranum secara semula jadi. Ketika buah ranum secara semula jadi, perubahan biokimia akan berlaku misalnya penyusutan klorofil, biosintesis karotenoid (antioksidan, penambah sistem imun, bahan pencegah kanser), antosianin (antioksidan yang kuat), essential oils, dan komponen perisa serta aroma. Tetapi kesemua perubahan kimia yang menyihatkan dan menambah mutu buah-buahan ini tidak berlaku jika buah ranum secara tiruan.


Dengan mengatakan penggunaan gas carbide untuk meranum buah-buahan sebagai amalan yang selamat, Kementerian Kesihatan seolah-olah menggalakkan penggunaan lebih banyak bahan kimia dalam makanan yang sebaliknya boleh memudaratkan kesihatan pengguna.


SM Mohamed Idris
Presiden CAP

Jumaat, 2 September 2011

Nikmati coklat sehat

Ramadhan dan Syawal sudah pun berlalu pergi meninggalkan kita.

Rata-rata dikalangan kita mula kembali kepada rutin pemakanan asal seperti sebelum Ramadhan. Tak hairanlah jika ada yang 'ter-over dose' sepanjang musim perayaan lalu... maklumlah ada sesetengah menu yang hanya boleh ditemui ketika raya sahaja. Ada kalanya pula 'terpaksa' makan untuk menjaga hati tuan rumah; jangan dikata tak sudi pula!

Bila diamati, kuih yang sering menjadi pilihan tetamu adalah kuih yang coklat. Samada kek coklat, almond london, maupun puding dan jely coklat. Secara umumnya mereka menggemari rasa unik lemak dan manis coklat.

Mungkin tidak ramai yang arif tentang kebaikan dan khasiat sebenarnya. Coklat dihasilkan dari biji koko. Ia kaya dengan flavonoid  sejenis antioksidan, phenylethylamine,  serotonine, kafein, vitamin dan unsur mineral.

Pembentangan hasil kajian oleh Oscar Franco di University of Cambridge, England pada 29 Ogos 2011 di   Kongres Persatuan Kardiologi Eropah di Paris menyatakan amalan memakan coklat boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan stroke sebanyak 30%. Malah turut mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan sensitiviti insulin yang sering dikaitkan dengan masalah kencing manis.

Malangnya produk coklat yang dijual dipasaran telah diproses untuk tujuan komersial dengan menambah kandungan lemak makanan dan gula sehingga meningkatkan kalori ke tahap kurang sehat. 

University of Birmingham telah memperkenalkan coklan hasil penyelidikan mereka yang di namakan sebagai 'coklat sihat'. Coklat rendah lemak ini mengandungi 60% air dengan aroma, rasa dan kelazatan coklat setanding coklat biasa.



Jumaat, 12 Ogos 2011

Mudarat senam sebelum berbuka

Bersenam secara aktif ketika berpuasa boleh sebabkan berat badan naik?

Ramadhan adalah bulan mulia dan sering dinantikan oleh umat Islam. Sebagai bulan ibadah, bulan keberkatan dan bulan rahmat; dimana Allah menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda atas setiap amalan yang dilakukan.

Ada juga yang beranggapan, Ramadhan sebagai bulan menurunkan berat badan. Manakan tidak, sepanjang tahun aktif bersukan, namun berat badan semakin meningkat. Lantas kehadiran Ramadhan dinanti-nantikan... 

Persoalannya, adakah benar bersenam secara aktif di siang hari ketika berpuasa dapat membantu menurunkan berat badan dengan lebih berkesan?

Berita Harian (11 Ogos, 2011) memetik Dr. N Baho petugas di unit kecemasan sebuah hospital di Jeddah sebagai berkata, bersenam secara aktif ketika puasa hanya akan menambahkan masalah kerana kehilangan air tidak dapat ditambah. Sebaliknya boleh menjurus kepada peningkatan berat badan.

Hakikatnya tubuh perlukan air dan gula untuk metabolisma. Tubuh juga akan menyelaraskan tahap metabolisma menjadi lebih perlahan kerana kekurangan makanan. Sedangkan selepas bersenam secara aktif anda akan berasa lebih lapar dan makan lebih banyak ketika berbuka. Akibatnya badan akan menyimpan lebih banyak lemak berbanding biasa.

Namun ada yang beranggapan sebaliknya. Misalnya bagi mereka yang aktif bersukan pada setiap petang. Pada tanggapan mereka, kegemukan boleh terjadi bila meninggalkan terus aktiviti lazim dan akhirnya mereka kehilangan mood untuk memulakan semula selepas Ramadhan. Tambahan pula badan mereka terasa semakin 'berat'!

Kesilapan dan salah tanggapan sedemikian memang sering berlaku kerana kita sendiri kurang faham dengan konsep ibadah puasa itu sendiri. Allah telah mengaturkan ibadah malam yang lebih baik untuk kita amalkan. Selepas berbuka dan solat isya', kita disarankan untuk bersolat tarawih; suatu amalan yang sekaligus memberikan manfaat jasmani dan rohani dengan ganjaran kesihatan dan pahala dari Allah.

Setiap pergerakan (rukun) dalam solat itu sendiri merupakan aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan otot dan sistem tubuh manusia. Malah, solat juga adalah terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul akan menghasilkan kesan positif terhadap tubuh dan sahsiah pengamalnya.

Jumaat, 20 Mei 2011

Lagi DNA Babi Dalam Makanan

Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia Bil.14/2011 yang diadakan pada 12 Mei 2011 telah memutuskan permohonan Syarikat Puratos Malaysia Sdn Bhd ( JAKIM-20100609-123757 ) adalah tidak berjaya berikutan penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam bahan ramuan ( Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder ) yang digunakan syarikat tersebut.

Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang menggunakan produk keluaran Syarikat Puratos Malaysia Sdn Bhd dikehendaki untuk melakukan perkara-perkara seperti ketetapan berikut :
  • menukar produk tersebut kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf
  • mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf ( jika berkaitan )
  • melakukan proses samak dan
  • mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri.
Kita patut bersyukur atas kejayaan pengesanan bahan terlarang sebegini. Namun kita juga wajar untuk berasa gusar atas beberapa sebab:
  • unsur bahan terlarang dikesan dalam sample diserah untuk tujuan kelulusan sijil halal. Bagaimana jika ketirisan berlaku selepas kelulusan diberi atau dalam tempuh untuk memperbaharui lesen.
  • bahan mentah diedarkan kepada syarikat pembuat roti dan kek. Adakah penarikan balik bahan dan produk siap dalam pasaran dilakukan; sebagaimana kes melamini tempohari.
  • Tahap kefahaman, pematuhan dan kesedaran pengusaha dalam isu halal/haram. Mereka sewajarnya diberi garis panduan dan wajib faham serta patuh; bukannya akur kerana penguatkuasaan.
Pada 22/04/2011, panel yang sama telah menarik balik sijil halal Syarikat Lucky Food Processing Sdn Bhd. Kita tidak tahu bagaimana ini boleh berlaku, tetapi tidak mustahil jika syarikat mendapatkan bekalan bahan mentak dari sumber lain ketika pengesanan kedua dilakukan. Jika begitu, adalah wajar pengesahan halal dilakukan setiap kali sumber bertukar dan ini pastinya merupakan cabaran utama kepada pihak berwajib untuk melipatgandakan keupayaan proses pengujian dan persijilan.

Pendedahan dan peningkatan kes (jika ada) tidak semestinya menunjukkan keadaan yang semakin memburuk, sebaliknya ia harus dilihat sebagai tahap keberkesanan dan kesedaran yang kian meningkat.

Para pengguna seharusnya semakin kritis terhadap apa yang mereka beli dan berkongsi maklumat sebaiknya untuk kepentingan bersama.




Isu DNA Babi dalam Kluang Rail Coffee


Nota: Sila update status Halal produk berkaitan dari pehak berwajib. Kami tidak bertanggungjawab untuk mengemaskini status mutakhir.

Selasa, 17 Mei 2011

Penjenayah Asid

Sumber: Buletin Utama TV3
Kejadian lecur akibat disimbah asid bukan lagi cerita yang asing bagi masyarakat Malaysia. Banyak kes dikesan melibatkan isu rumah tangga dan cemburu. Misalnya di Pahang seorang isteri disimbah asid gara-gara menolak keinginan suami untuk melakukan hubungan seks. Dan di Kelantan pula suami disimbah asid kerana berhasrat untuk berkahwin lagi. Manakala kejadian terbaru di sekitar Lembah Kelang pula belum dapat di pastikan motif sebenar, tetapi ada kemungkinan turut melibatkan sentimen seumpama atau psaiko.

Walaupun Polis telah berjaya membuat dan menyebarkan lakaran wajah suspek, namun ia belum berjaya ditangkap. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata dua suspek bertubuh kurus dan gempal berketurunan India, berusia sekitar 20an dan 30an itu berkenderaan motosikal jenis Honda EX5 warna hitam. Beliau juga menyebut bahawa asid yang digunakan suspek adalah jenis yang sukar diperolehi di pasaran.

Untuk lebih mensensasikan lagi berita akhbar, seorang pemuda yang memiliki wajah mirip lakaran berkaitan telah tampil ke balai Polis Petaling Jaya setelah dinasihatkan keluarga. Namun beliau di bebaskan sejurus selepas itu kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan dengan kejadian.

Dalam perkembangan berasingan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pula bercadang untuk menggubal undang-undang khas mengenai penggunaan, penyimpanan dan penjualan asid.

Ini mungkin dilihat sebagai perkembangan positif dikalangan masyarakat umum, tetapi bagaimana pelaksanaannya, terutamanya di sektor industri. Ketirisan boleh berlaku di sektor ini; misalnya kecurian oleh pekerja industri dan pastinya akan turut mengheret majikan kerana didakwa gagal menyelia dengan baik.
Bagaimana pula dengan penoreh getah? Kerana kes-kes terdahulu lebih banyak melibatkan asid cuka getah yang dilihat hampir tiada penyeliaan di peringkat pekebun kecil.

Apa yang lebih penting adalah akta jenayah itu sendiri. Jika akta kawalan bahan bahaya diperketat tetapi hukuman keatas penjenayah tidak digubal, ia tetap tidak menakutkan pelaku dan nasib mangsa tetap tidak terbela.

Bantu kami jika anda bersimpati dengan mangsa. Hubungi Rakan Cop di talian 03-2115999 atau SMS ke 32728 untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah.

Sabtu, 30 April 2011

Anda silap tentang buah

Anda suka buah? Saya juga suka buah, terutamanya buah-buahan tempatan. Pisang, nenas, tembikai dan mangga; apatah lagi duku, rambutan dan durian!

Tetapi tahukah anda kebanyakan orang Malaysia keliru dengan cara pengambilan buah-buahan yang betul. Dua kebiasaan yang diamalkan:
  • Makan buah-buahan sebagai pencuci mulut. Lazimnya kita akan makan buah selepas makan tengahari atau malam.
  • Makan buah secara banyak tanpa mengira waktu. Ini sering berlaku bila tiba musim buah tertentu, misalnya rambutan, duku dan durian.
Buah-buahan sebenarnya kaya dengan kandungan serat, mineral, vitamin, gula dan sedikit protin bermutu tinggi yang baik untuk kesihatan. Dengan mengamalkan cara pengambilan yang betul  dapat membantu mengekalkan kesihatan, bentuk tubuh dan kulit yang sihat. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan ia merupakan satu bentuk terapi untuk mengawal berat badan. 

Makan buah ketika perut kosong atau sebelum mengambil makanan berat (sarapan, tengahari atau malam) adalah amalan yang baik. Buah-buahan adalan sumber makanan rendah kalori. Nutrisi yang terkandung didalam buah akan terus diserap oleh usus dengan mudah. Serat akan bertindak sebagai agen detok dan membantu anda berasa cepat kenyang. Ini adalah kaedah terbaik untuk mengawal selera ketika anda mengambil makanan berat nanti.

Menurut Dr. Herbert Shelton, kandungan asid pada buah-buahan akan ditukar menjadi alkali didalam badan. Ini menjadikan amalan makan buah sebagai pencuci mulut sebagai sia-sia. Makanan yang diambil akan mengambil masa untuk dicerna selain mengalami proses fermentasi dan menghasilkan asid. Sebaik sahaja anda makan buah dan bercampur didalam perut tindakbalas kimia boleh menjejaskan khasiat makanan yang diambil.

Khamis, 10 Februari 2011

Pekilang Rokok Marah Obama!

Sumber foto: Theliepolitic.com
Teruja dengan berita yang mengatakan Presiden Amerika Barak Obama telah berjaya meninggalkan tabiat merokok setelah setahun berusaha melakukannya.

Bagi saya yang sememangnya tidak merokok menganggap tabiat merokok sememangnya wajib dilupakan. Faktor ekonomi dan kesihatan adalah fakta yang membuktikan mengapa Islam mengharamkan tabiat buruk ini.

Kejayaan Obama ini diharap akan menjadi pemangkin malah bakal menaikkan semangat dan iltizam rakan-rakan perokok untuk mengikut jejak beliau.

Apakah nanti senario baru yang bakal kita lihat...? Syarikat pengeluar rokok dunia akan muflis? Atau akan ada strategi baru yang 'menekan balik' dan mempengaruhi keputusan Obama secara umum... kerana kita tahu pengaruh tauke-tauke rokok dunia dalam sektor ekonomi. Tepuk dada, tanya selera.

Baca berita Obama Sudah Berhenti Merokok: Michelle di Berita Harian




Idea nak berhenti merokok?
How to Stop Smoking and Stay Stopped for Good
Boiron - Quit Smoking Carekit, 1 kit
X-Halers Smokeless Cigarette and CD Stop Smoking Program