Herpes Zoster atau lebih dikenali
sebagai penyakit kayap dikalangan masyarakat Malaysia adalah sejenis
penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus Varicella
Zoster (VZV).
Penyakit kayap atau Herpes Zoster lebih
berisiko menyerang mereka yang berusia lebih 50 tahun, lemah sistem imun dan
pernah dijangkiti penyakit cacar air (chicken pox). Namun, virus varicella
zoster tetap berkemungkinan untuk menyerang golongan lebih muda sekiranya virus
ini sedia ada dalam tubuh badan mereka dan daya tahan (imun) yang rendah.
Biasanya, penyakit cacar air atau
chicken pox tidak akan berulang pada pesakit yang sama sepanjang hayatnya.
Namun, selepas cacar / chicken pox sembuh virus varicella zoster tidak akan mati;
sebaliknya akan terus kekal dalam keadaan hibernasi ( tidak aktif ) di dalam
pusat saraf (ganglion) penghidap. Apabila sistem imun penghidap menjadi lemah,
virus varicella zoster menjadi aktif semula. Ia akan menyerang urat saraf dan
menyebabkan keradangan saraf.
Kayap atau herpes zoster biasanya
menyebabkan keradangan satu urat saraf pada satu bahagian badan. Ia lazimnya
membabitkan bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal).
Jika kayap / herpes zoster terjadi pada
bahagian muka, ia boleh menyebabkan komplikasi pada mata, termasuk menjadi buta
dan jika menyerang saraf muka, pesakit boleh mendapat paralisis otot muka
(facial palsy).
Varicella zoster juga boleh menyebabkan
keradangan organ dalaman, termasuk otak (meningoencephalitis), jantung (carditis),
paru-paru (pneumomitis) dan usus (enterocolitis).
Simptom awal penyakit ini termasuklah
rasa sakit, kebas dan panas pada bahagian urat saraf terbabit. Diikuti demam,
keletihan dan sakit kepala. Kesemua tanda-tanda ini dialami sebelum tanda pada
kulit muncul. Keadaan ini berterusan untuk jangka masa antara tiga hingga lima
hari.
Pada hari berikutnya, tompok kemerahan
yang menyakitkan akan muncul pada bahagian saraf terbabit. Selepas satu
atau dua hari, kemerahan ini bertukar menjadi gelembung air kecil berwarna
kuning. Jangkitan kuman bakteria yang terjadi pada gelembung air akan
menyebabkan pendarahan didalam gelembung itu. Gelembung ini boleh merebak ke kawasan
lain. Ini bergantung kepada lemahnya sistem imun pesakit terbabit.
Dalam tempuh dua hari berikutnya,
gelembung kuning bertukar menjadi keruh dan akhirnya mengering. Kulit akan
menjadi kering dan berkerak dan seterusnya akan gugur sendiri dalam tempuh satu
hingga dua minggu.
Selepas sembuh dirawat, bahagian kulit
terbabit akan meninggalkan parut. Komplikasi kronik lain lazimnya adalah
kesakitan pada urat saraf di bahagian terlibat untuk jangka masa yang panjang
(post herpetic neuralgia).
Selain itu, jika melibatkan serangan
pada mata; mungkin terjadi keradangan pada mata dan menjadi buta. Komplikasi
urat saraf, menyebabkan keradangan urat saraf dan saraf tunjang.
Rawatan menggunakan ubat sapu seperti
potassium permanganate untuk mengeringkan gelembung air mampu memgurangkan
tempuh masa komplikasi penyakit. Rawatan melibatkan
penggunaan ubat penahan sakit non steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) dan
ubat neuroactive seperti amitryptiline.
Ubat antiviral seperti acyclovir,
valacyclovir dan famciclovir biasanya akan diberikan dalam tempuh beberapa
jam selepas gelembung air timbul untuk mengelakkan komplikasi. Untuk pesakit
yang mengalami penyakit kayap / herpes zoster teruk dengan sistem imun lemah
mungkin memerlukan rawatan di wad dengan ubat antiviral intravena.
Sumber: MyHEALTH Kementerian
Kesihatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan