Jumaat, 20 Mei 2011

Lagi DNA Babi Dalam Makanan

Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia Bil.14/2011 yang diadakan pada 12 Mei 2011 telah memutuskan permohonan Syarikat Puratos Malaysia Sdn Bhd ( JAKIM-20100609-123757 ) adalah tidak berjaya berikutan penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam bahan ramuan ( Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder ) yang digunakan syarikat tersebut.

Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang menggunakan produk keluaran Syarikat Puratos Malaysia Sdn Bhd dikehendaki untuk melakukan perkara-perkara seperti ketetapan berikut :
  • menukar produk tersebut kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf
  • mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf ( jika berkaitan )
  • melakukan proses samak dan
  • mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri.
Kita patut bersyukur atas kejayaan pengesanan bahan terlarang sebegini. Namun kita juga wajar untuk berasa gusar atas beberapa sebab:
  • unsur bahan terlarang dikesan dalam sample diserah untuk tujuan kelulusan sijil halal. Bagaimana jika ketirisan berlaku selepas kelulusan diberi atau dalam tempuh untuk memperbaharui lesen.
  • bahan mentah diedarkan kepada syarikat pembuat roti dan kek. Adakah penarikan balik bahan dan produk siap dalam pasaran dilakukan; sebagaimana kes melamini tempohari.
  • Tahap kefahaman, pematuhan dan kesedaran pengusaha dalam isu halal/haram. Mereka sewajarnya diberi garis panduan dan wajib faham serta patuh; bukannya akur kerana penguatkuasaan.
Pada 22/04/2011, panel yang sama telah menarik balik sijil halal Syarikat Lucky Food Processing Sdn Bhd. Kita tidak tahu bagaimana ini boleh berlaku, tetapi tidak mustahil jika syarikat mendapatkan bekalan bahan mentak dari sumber lain ketika pengesanan kedua dilakukan. Jika begitu, adalah wajar pengesahan halal dilakukan setiap kali sumber bertukar dan ini pastinya merupakan cabaran utama kepada pihak berwajib untuk melipatgandakan keupayaan proses pengujian dan persijilan.

Pendedahan dan peningkatan kes (jika ada) tidak semestinya menunjukkan keadaan yang semakin memburuk, sebaliknya ia harus dilihat sebagai tahap keberkesanan dan kesedaran yang kian meningkat.

Para pengguna seharusnya semakin kritis terhadap apa yang mereka beli dan berkongsi maklumat sebaiknya untuk kepentingan bersama.




Isu DNA Babi dalam Kluang Rail Coffee


Nota: Sila update status Halal produk berkaitan dari pehak berwajib. Kami tidak bertanggungjawab untuk mengemaskini status mutakhir.

Selasa, 17 Mei 2011

Penjenayah Asid

Sumber: Buletin Utama TV3
Kejadian lecur akibat disimbah asid bukan lagi cerita yang asing bagi masyarakat Malaysia. Banyak kes dikesan melibatkan isu rumah tangga dan cemburu. Misalnya di Pahang seorang isteri disimbah asid gara-gara menolak keinginan suami untuk melakukan hubungan seks. Dan di Kelantan pula suami disimbah asid kerana berhasrat untuk berkahwin lagi. Manakala kejadian terbaru di sekitar Lembah Kelang pula belum dapat di pastikan motif sebenar, tetapi ada kemungkinan turut melibatkan sentimen seumpama atau psaiko.

Walaupun Polis telah berjaya membuat dan menyebarkan lakaran wajah suspek, namun ia belum berjaya ditangkap. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata dua suspek bertubuh kurus dan gempal berketurunan India, berusia sekitar 20an dan 30an itu berkenderaan motosikal jenis Honda EX5 warna hitam. Beliau juga menyebut bahawa asid yang digunakan suspek adalah jenis yang sukar diperolehi di pasaran.

Untuk lebih mensensasikan lagi berita akhbar, seorang pemuda yang memiliki wajah mirip lakaran berkaitan telah tampil ke balai Polis Petaling Jaya setelah dinasihatkan keluarga. Namun beliau di bebaskan sejurus selepas itu kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan dengan kejadian.

Dalam perkembangan berasingan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pula bercadang untuk menggubal undang-undang khas mengenai penggunaan, penyimpanan dan penjualan asid.

Ini mungkin dilihat sebagai perkembangan positif dikalangan masyarakat umum, tetapi bagaimana pelaksanaannya, terutamanya di sektor industri. Ketirisan boleh berlaku di sektor ini; misalnya kecurian oleh pekerja industri dan pastinya akan turut mengheret majikan kerana didakwa gagal menyelia dengan baik.
Bagaimana pula dengan penoreh getah? Kerana kes-kes terdahulu lebih banyak melibatkan asid cuka getah yang dilihat hampir tiada penyeliaan di peringkat pekebun kecil.

Apa yang lebih penting adalah akta jenayah itu sendiri. Jika akta kawalan bahan bahaya diperketat tetapi hukuman keatas penjenayah tidak digubal, ia tetap tidak menakutkan pelaku dan nasib mangsa tetap tidak terbela.

Bantu kami jika anda bersimpati dengan mangsa. Hubungi Rakan Cop di talian 03-2115999 atau SMS ke 32728 untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah.