Khamis, 12 Jun 2014

Ancaman Kayap

Herpes Zoster atau lebih dikenali sebagai penyakit kayap dikalangan masyarakat Malaysia adalah sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus Varicella Zoster (VZV).

Penyakit kayap atau Herpes Zoster lebih berisiko menyerang mereka yang berusia lebih 50 tahun, lemah sistem imun dan pernah dijangkiti penyakit cacar air (chicken pox). Namun, virus varicella zoster tetap berkemungkinan untuk menyerang golongan lebih muda sekiranya virus ini sedia ada dalam tubuh badan mereka dan daya tahan  (imun) yang rendah.

Biasanya, penyakit cacar air atau chicken pox tidak akan berulang pada pesakit yang sama  sepanjang hayatnya. Namun, selepas cacar / chicken pox sembuh virus varicella zoster tidak akan mati; sebaliknya akan terus kekal dalam keadaan hibernasi ( tidak aktif ) di dalam pusat saraf (ganglion) penghidap. Apabila sistem imun penghidap menjadi lemah, virus varicella zoster menjadi aktif semula. Ia akan menyerang urat saraf dan menyebabkan keradangan saraf.

Kayap atau herpes zoster biasanya menyebabkan keradangan satu urat saraf pada satu bahagian badan. Ia lazimnya membabitkan bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal).

Jika kayap / herpes zoster terjadi pada bahagian muka, ia boleh menyebabkan komplikasi pada mata, termasuk menjadi buta dan jika menyerang saraf muka, pesakit boleh mendapat paralisis otot muka (facial palsy).

Varicella zoster juga boleh menyebabkan keradangan organ dalaman, termasuk otak (meningoencephalitis), jantung (carditis), paru-paru (pneumomitis) dan usus (enterocolitis).

Simptom awal penyakit ini termasuklah rasa sakit, kebas dan panas pada bahagian urat saraf terbabit. Diikuti demam, keletihan dan sakit kepala. Kesemua tanda-tanda ini dialami sebelum tanda pada kulit muncul. Keadaan ini berterusan untuk jangka masa antara tiga hingga lima hari.

Pada hari berikutnya, tompok kemerahan yang menyakitkan akan muncul pada bahagian saraf terbabit. Selepas  satu atau dua hari, kemerahan ini bertukar menjadi gelembung air kecil berwarna kuning. Jangkitan kuman bakteria yang terjadi pada gelembung air akan menyebabkan pendarahan didalam gelembung itu. Gelembung ini boleh merebak ke kawasan lain. Ini bergantung kepada lemahnya sistem imun pesakit terbabit.

Dalam tempuh dua hari berikutnya, gelembung kuning bertukar menjadi keruh dan akhirnya mengering. Kulit akan menjadi kering dan berkerak dan seterusnya akan gugur sendiri dalam tempuh satu hingga dua minggu.

Selepas sembuh dirawat, bahagian kulit terbabit akan meninggalkan parut. Komplikasi kronik lain lazimnya adalah kesakitan pada urat saraf di bahagian terlibat untuk jangka masa yang panjang (post herpetic neuralgia).

Selain itu, jika melibatkan serangan pada mata; mungkin terjadi keradangan pada mata dan menjadi buta. Komplikasi urat saraf, menyebabkan keradangan urat saraf dan saraf tunjang.

Rawatan menggunakan ubat sapu seperti potassium permanganate untuk mengeringkan gelembung air mampu memgurangkan tempuh masa komplikasi penyakit. Rawatan melibatkan penggunaan ubat penahan sakit non steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) dan ubat neuroactive seperti amitryptiline.
Ubat antiviral seperti acyclovir, valacyclovir dan famciclovir biasanya akan diberikan  dalam tempuh beberapa jam selepas gelembung air timbul untuk mengelakkan komplikasi. Untuk pesakit yang mengalami penyakit kayap / herpes zoster teruk dengan sistem imun lemah mungkin memerlukan rawatan di wad dengan ubat antiviral intravena.


Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan