Tak kira dimana dan bila, kemalangan jalanraya tetap akan berlaku. Statistik menunjukkan kadar kemalangan akan meningkat pada musim perayaan seperti sekarang ini.
Tak siapa mahukan ia berlaku; tak kiralah apa pun gaya pemanduan anda... Walau secermat mana pun anda memandu, ia tetap boleh berlaku atas faktor-faktor lain yang mungkin bukan berpunca dari anda sendiri.
Menangani kes kemalangan jalanraya di lokasi tidaklah sesukar mana; terutamanya jika tidak melibatkan sebarang kecederaan dan semua pehak terlibat memberikan kerjasama.
Kekecohan akan timbul bila ada pehak yang cuba mencari salah orang lain atau bertindak agresif kerana gagal mengawal perasaan. Anda akan lebih tertekan bila berhadapan dengan pehak insuran bila mahu membuat tuntutan. Tidak mustahil jika kenderaan anda terpaksa tersadai di bengkal sehingga enam bulan sebelum boleh dipandu keluar.
Perkara pertama yang perlu anda lakukan bila terlibat dalam kemalangan adalah dapatkan kawalan diri. Anda mesti bertenang dan tidak berasa cemas atau panik. Panduan berikut mungkin boleh membantu anda:
- Kawal dan tenangkan diri anda dan orang-orang bersama anda.
- Kenalpasti jika ada mangsa yang cedera dan dapatkan bantuan segera atau hubungi 999.
- Jika tiada kecederaan, alihkan kenderaan anda, jika boleh, agar tidak mengganggu aliran trafik.
- Catatkan nama dan alamat pemandu-pemandu lain yang terbabit.
- Catatkan model dan nombor pendaftaran kenderaan lain yang terlibat.
- Catatkan nama-nama dan alamat saksi, sekiranya ada.
- Buat lakaran kasar tentang kemalangan dan lokasi sejurus sebelum dan selepas kemalangan berlaku.
- Jika anda memiliki kamera, gambar mengenai kemalangan juga boleh membantu.
- Jangan berbincang atau berbalah tentang siapa yang bersalah. Ini boleh mengganggu dan menyukarkan anda dalam proses berikutnya.
- Bertukar maklumat mengenai nama syarikat insuran kenderaan yang terlibat.
- Jika perlu ditunda, pastikan kenderaan dihantar ke bengkel yang diakui syarikat insuran anda. Sila hubungi talian hotline insuran anda.
- Laporkan kemalangan ke balai polis berdekatan. Ingat anda diberi tempuh selama 24 jam.
- Laporkan kemalangan kepada pehak insuran walaupun anda tidak berniat untuk membuat tuntutan. Namun pehak ketiga mungkin akan membuat tuntutan keatas insuran anda dan anda akan kehilangan NCD. Biasanya laporan polis diperlukan.
- Isikan borang tuntutan dengan lengkap. Dapatkan bantuan nasihat dari pehak insuran jika perlu.
Sebaiknya hubungi pehak insuran untuk mengetahui bengkel yang diperakui sebelum kenderaan anda ditarik. Ingat, anda akan diminta untuk menandatangani suatu borang sebagai kebenaran dan perakuan pehak penunda untuk menarik kenderaan anda. Tanpa borang ini anda mungkin ditipu dan tidak mustahil kenderaan anda boleh ghaib untuk selamanya.
Pehak insuran akan menghantar pelaras kerugian (adjuster) ke bengkal setelah menerima borang laporan yang lengkap dari anda. Nah, disinilah episod kerenah tuntutan antara anda dan pehak insuran akan bermula. DAN disinilah sering berlaku salah faham yang 'menyakitkan' diantara anda, syarikat insuran dan bengkel!
Sentiasa beringat: Pandu cermat jiwa selamat.
Percayalah, kemalangan pasti menyukarkan hidup anda. Biarpun tiada yang cedera, anda tetap 'sakit' bila berurusan dengan insuran dan bengkel nanti!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan