Sabtu, 30 Ogos 2008

Small Change, Big Difference

Sekali lagi Pak Lah membentangkan bajet beliau, kali ini tentunya untuk tahun 2009.

Kita dapati ada empat perkara utama yang menjurus terus kepada manfaat kesihatan rakyat dan imbalan kepada kakitangan perkhidmatan kesihatan:
  • Kenaikan kadar bayaran insentif pakar perubatan kepada 3,800 pegawai.
  • Kenaikan kadar bayaran insentif kepada pasukan perubatan udara di Sabah dan Sarawak.
  • Pengecualian cukai bagi perubatan radisional seperti akupuntur dan ayuvedic yang pembiayaannya ditanggung oleh majikan. Ini menandakan suatu pengiktirafan keatas perubatan alternatif.
  • DAN, kenaikan duti eksais ke atas rokok sebanyak 3% sebatang; dari 15 sen kepada 18 sen. Ini bermakna, sekotak 20 batang rokok kini meningkat sebanyak 60 sen.
Sebenarnya, apa yang paling menarik disini adalah kenaikan duti rokok. Rokok sering menjadi 'sasaran' setiap kali bujet dibentangkan! Dan ini pastinya menjadikan rakyat (dibaca sebagai 'perokok') seluruh negara menjadi 'sasaran'.

Ahli Jawatankuasa Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Shaari Ahmad Junid berpandangan bahawa kerajaan sepatutnya mengumumkan kenaikan cukai sehingga 70%. Namun, kita yakin ini tidak akan berlaku kerana langkah sedemikian hanya akan mendatangkan 'padah' kepada kerajaan.

Nampaknya peningkatan cukai ini langsung tidak membimbangkan syarikat-syarikat pengeluar rokok. Malah
Pengarah Perhubungan Korporat Philip Morris (M) Sdn Bhd, Marlene Kaur berkata, pehaknya tidak akan menyerap kenaikan duti eksais berkenaan; sebaliknya ia akan ditanggung oleh pengguna. (Berita Harian, Sabtu 30/08/2008).

Kenyataan beliau nampaknya turut menggambarkan pendirian beberapa syarikat pengeluar rokok lain yang mengesahkan perubahan pada harga rokok dijangka berlaku sekitar minggu hadapan.

Saya tidak pasti samada langkah syarikat rokok ini boleh kita tafsirkan sebagai 'sokongan' terhadap langkah Pak Lah yang ingin mengekang gejala sosial dan menggalakkan gaya hidup sehat; terutamanya di kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Namun Shaari menganggap harga rokok masih terlalu murah dan menjangkakan kerajaan terpaksa menanggung kos lebih tinggi bagi merawat pelbagai penyakit akibat tabiat merokok.

Saya teringat hasil kajian yang di jalankan oleh
University of Cambridge dan Medical Research Council. Kajian yang di ketuai oleh Professor Kay-Tee Khaw mengambil masa lebih sedekat ( 1993 ~ 2006 ) dan melibatkan seramai 20,000 orang berusia 45 ~ 79 tahun ini merumuskan amalan cara hidup sehat dapat meningkatkan usia sehingga 14 tahun!

Tidak merokok, mengelak minuman beralkohol, bersenam dan makan 5 hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari adalah diantara saranan beliau. Menurut beliau lagi, amalan sehat ini dapat menghindarkan diri dari penyakit perkaitan kardiovaskular (jantung) dan kebanyakan penyakit kronik lain.

Jadi sewajarnya peningkatan cukai rokok ini diterima dengan hati terbuka. Dan inilah peluang terbaik untuk kita mula menghindarkan diri dari tabiat merokok, apatah lagi dengan ketibaan Ramadhan yang mungkin bermula lusa.

Isnin, 18 Ogos 2008

Skizofrenia diiktiraf OKU?

Ahad 10 Ogos, 2008 Berita Minggu melaporkan:


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga sedang mengkaji kemungkinan pesakit skizofrenia dikategorikan orang kurang upay (OKU) seperti autisme dan down sindrom.

Menterinya, Datuk Dr. Ng Yen Yen, berkata hanya skizofrenia mungkin diiktiraf sebagai OKU tetapi bukan kemurungan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan 154 juta penduduk dunia mengalami masalah mental dengan 25 juta daripadanya skizofrenia.

Di Malaysia, masalah mental meningkat 11 peratus dalam tempoh 10 tahun.



Sedikit tentang Skizofrenia:

Skizofrenia adalah sejenis penyakit mental atau psikiatri. Seseorang yang mengalami skizofrenia tanpa dirawat biasanya menunjukkan pemikiran yang tidak teratur, dan mungkin mengalami delusihalusinasi pendengaran. Walaupun penyakit ini biasanya memberi kesan kepada kognitif, ia juga menyumbang kepada masaalah teruk dengan perangai manusia atau emosi.

Simptom penyakit ini terbahagi kepada 3 kategori:
  1. Simptom positif merupakan pemikiran yang luar biasa seperti halusasi, delusi(ketidakpercayaan pada diri sendiri), masalah pemikiran dan masalah pergerakan.
  2. Simptom negatif merupakan kehilangan atau kekurangan keupayaan untuk merancang, bercakap, menzahirkan emosi, atau mencari keseronokan diri dalam kehidupan seharian.Simptom ini sukar untuk dikesan sebagai salah satu masalah skizofrenia dan boleh disalah tafsir sebagai kemalasan atau kemurungan.
  3. Simptom kognitif merupakan masalah dalam memberi perhatian terhadap sesuatu, memori, dan dalam merancang.
Skizofrenia biasanya mula dikesan pada usia lewat remaja atau awal dewasa dengan kaum lelaki cenderung menunjukkan simptom lebih awal berbanding kaum wanita.

Penyakit ini dipercayai disebabkan oleh kombinasi persekitaran dan masalah genetik. Antara penyebabnya adalah warisan, masalah kimia otak dan struktur otak tidak normal.

Kebarangkalian untuk mewarisi penyakit ini adalah 10% dari ahli keluarga terdekat seperti ibu, bapa dan adik beradik. Kembar seiras pula mempunyai kemungkinan diantara 40 ~ 65%.

Ketidakseimbangan kimia otak iaitu dopamin dan glutamat ( atau yang lain-lain ) juga diketahui mempengaruhi dalam membentuk skizofrenia.

Penghidap skizofrenia juga didapati mempunyai otak yang sedikit berbeza daripada orang normal. Kadang-kala ventrikel otak mereka lebih besar. 'Gray matter' otak penghidap skizofrenia adalah lebih rendah dan sebahagian aktiviti metabolisma otak mereka kurang atau lebih.

Selain itu penyalahgunaan dadah seperti kokain dan kanabis adalah punca-punca luaran yang sememangnya dapat dikenalpasti.

Penghidap skizofrenia yang dirujuk biasanya diberikan rawatan secara perubatan dan terapi. Ubat-ubatan yang diberikan terbahagi kepada dua iaitu antipsikotik atau neuroleptik. Namun ia hanya untuk mengurangkan simptom-simptom positif dan bukannya menyembuhkan penyakit.

Ubat yang diberi akan memberikan tindakbalas yang berbeza kepada setiap orang. Jadi pesakit diminta bekerjasama dalam memberi maklumbalas untuk mengenalpasti dan menentukan ubat yang sesuai untuk mengurangkan kesan sampingan.

Antara rawatan terapi yang diberikan kepada penghidap skizofrenia adalah kaunseling, terapi psikologi, terapi sikap, terapi pemulihan, pendidikan keluarga dan pendidikan kendiri.

Skizofrenia diketahui memberikan komplikasi dan kesan negatif keatas kualiti hidup penghidapnya. Diantara komplikasi utama adalah masalah fungsi sosial secara am; termasuk kurang kebolehan kerja. Manakala komplikasi yang lebih serius termasuk mencederakan diri sendiri dan bunuh diri.

Khamis, 31 Julai 2008

Herba Kawal Paras Gula Darah

Anda mungkin tidak mengalami diabetis, tetapi mungkin menghadapi masalah ketidakseimbangan gula dalam darah. Keadaan ini di kenali sebagai hipoglisemia ( paras gula menurun terlalu rendah) dan hiperglisemia (paras gula melebihi tahap normal). Ini terjadi bila tubuh gagal mengawal glukos dengan berkesan.


Hiperglisemia ( kencing manis ) terjadi bila insulin yang dikeluarkan tidak mencukupi atau tidak berkesan menyebabkan peningkatan glukos dalam darah. Diantara gejala yang biasa di alami: kerap kencing terutama tengah malam, lebih kerap rasa dahaga dari biasa, rasa letih dan lemah dan kerap rasa lapar.

Ada 4 herba yang sememangnya dikenalpasti dapat membantu mengawal keadaan ketidakseimbangan paras gula darah: Gymnema, fenugreek, holy basil dan peria.

Gymnema terkenal dalam masyarakat India sebagai 'pemusnah gula'. Bahan aktif yang terdapat di dalam daunnya menggalakkan penghasilan insulin oleh pankreas dan seterusnya mengawal paras gula.

Fenugreek ( halba ) adalah herba yang sering digunakan di dalam masakan. Bahan aktif trigonelina, kumarin, serat dan asid amino sememangnya diakui boleh memperlahankan penyerapan gula oleh tubuh, lantas membantu mengawal paras gula.

Ekstrak peria didapati bertindak ke atas sel pankreas, meningkatkan keberkesanan insulin dan memperbaiki masalah kerintangan insulin.

Holy basil berkesan dalam memperbaiki penggunaan glukos dan meningkatkan penghasilan insulin di kalangan penghidap diabetis peringkat awal dan sederhana.







Kuasa88 Banner

Isnin, 7 Julai 2008

Kopi Tongkat Ali Power?




Tongkat ali 'kegilaan lelaki'... Itu sudah sinonim sejak lama dahulu.

Sebab itulah agaknya, kemana pun kita pergi pasti mudah untuk mendapatkan minuman herba ini dengan pelbagai jenama. Tak kira samada dalam bentuk 'minuman tenaga' atau minuman kopi; dalam tin, kotak atau seumpamanya. Terdapat juga serbuk kopi pracampur terjual dalam sachet / paket plastik.

Secara tradisional, khasiat tongkat ali diperolehi dari air rebusan akar pokok. Dan rasanya sudah pasti pahit. Hari ini, minuman tongkat ali telah dikormesialkan dan tersedia dalam bentuk yang memudahkan pengguna. Ekstrak herba ini kononnya telah dicampurkan kedalam bahan minuman sedia hidang atau serbuk pracampur mudah bawa.

Pengarah CEPP Universiti Teknologi Malaysia dilaporkan berkata, ada diantara minuman tenaga tongkat ali di pasaran sekarang sebenarnya tidak memberikan kesan yang didakwa. Dari kajian yang beliau jalankan, ada diantara minuman ini yang hanya mengandungi kurang dari 0.05 miligram. Sedangkan jumlah yang sewajarnya diambil untuk mendapatkan kesan adalah sekurang-kurangnya 1 mg!

Hasil kajian beliau sebenarnya menyokong penemuan kajian yang dilakukan oleh FRIM. Pengarah FRIM turut mengesahkan pernah menjalankan kajian keatas 10 jenama popular dan hanya 7 yang mengandungi antara 0.25% hingga 1.6% ekstrak herba. Dan jumlah sebanyak itu sebenarnya tidak mencukupi untuk memberi kesan kesihatan kepada pengambilnya.

Selain tongkat ali, ada pelbagai lagi produk mengandungi ekstrak herba. Boleh dikatakan semua herba ini diakui baik untuk kesihatan. Hanya yang menjadi persoalan samada kandungan ekstrak herba ditambah mencapai tahap berkesan yang diharapkan.

Kesimpulan yang mungkin boleh dibuat dari kajian berkenaan:
Pertama: Kesan yang dirasai mungkin lebih kepada kesan psaikologi
Kedua: Ekstrak herba yang ditambah memang diakui bermanfaat, tetapi jumlah tidak memadai untuk menghasilkan kesan diharap. Jadi sebagai pengguna bijak, anda sewajarnya membaca dahulu senarai kandungan yang tertera pada tin/pembungkus.



Advertisement

RED GUARA CAFE
LEBIH LAZAT
LEBIH POWER
PASTI BERBEZA!!!

Bukan sekadar kopi
nikmati setiap hari...