Pada kebiasaannya, pasangan yang baru mendirikan rumahtangga akan teruja untuk cepat hamil. Namun hanya sekitar 85% pasangan muda akan hamil dalam tempoh 12 bulan. Itu pun bagi mereka yang tergolong sebagai aktif melakukan jima' iaitu antara 2 - 3 kali seminggu. Manakala sekitar 15% lagi berjaya hamil selepas 2 tahun mencuba.
Sebahagian besar pasangan yang gagal hamil dalam tempoh 2 tahun ini, biasanya akan menyalahkan takdir. Selainnya pula mengaitkan dengan faktor keturunan. Jarang sekali ada pasangan yang mahu mengaitkan dengan faktor kesuburan.
Seseorang wanita itu dikatakan berkemungkinan menghadapi masalah kesuburan apabila:
- berusia dibawah 35 tahun dan tidak hamil setelah berkahwin 12 bulan
- berusia lebih 35 tahun dan tidak hamil setelah berkahwin 6 bulan
sedangkan beliau tidak mengamal atau menggunakan mana-mana kaedah perancang keluarga atau pencegah kehamilan.
Sebenarnya banyak punca yang boleh dikaitkan dengan kegagalan kehamilan. Masalah kesuburan tidak hanya dialami oleh isteri; malah pakar perubatan memberitahu 30% disebabkan faktor suami, 30% disebabkan faktor isteri, 10% diebabkan faktor bersama. 25% atas faktor-faktor yang kurang jelas dan 5% lagi atas lain-lain faktor.
Namun terdapat satu fakta yang tidak diketahui ramai pasangan; iaitu kelainan fitrah lelaki dan wanita. Lelaki boleh menghasilkan sperma baru sepanjang hayatnya berbanding wanita, iaitu telur mereka sudah sedia terhasil sejak dilahirkan lagi.
Wanita dilahirkan dengan kira-kira 2 juta telur. Sebaik kedatangan haid pertama, jumlah telur hanya tinggal 200,000 sahaja. Setiap kali haid, 200 akan dikeluarkan; sedangkan badan hanya memilih satu telur untuk disenyawakan.
Wanita berada pada tahap paling subur ketika berusia 20-an dengan kadar 20 hingga 25 peratus dan menurun apabila mencecah usia 30-an dengan kadar kehamilan sekitar 15 peratus. Penurunan kadar kesuburan ini sejajar dengan kemerosotan jumlah telur dimiliki.
Untuk itu, setiap pasangan adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan jika masih gagal untuk hamil setelah 12 bulan berkahwin; sedangkan kehidupan seksual mereka aktif dan tidak mengamalkan apa-apa kaedah pencegah kehamilan atau perancang keluarga.