Selasa, 24 Januari 2012

Pesta Limau Mandarin

Happy Chinese New Year: Angpau and oranges
Ramai diantara kita masih lagi dalam mood bercuti sempena sambutan tahun baru China. Kepada rakan-rakan Tionghua, suka saya mengucapkan 中國新年快樂.

Masih terkenang-kenang dua perkara yang paling menarik bila berkunjung kerumah rakan-rakan Tionghua di zaman persekolahan dulu, apa lagi kalau bukan angpau dan limau mandarin!

Bagaikan satu kewajipan, tetamu pasti disambut mesra. Golongan kanak-kanak dan remaja ceria dengan pemberian 'hadiah' angpau. Manakala limau mandarin dihidang sebagai  juadah selamat datang. 

Apakah rahsia kebaikan limau mandarin ini sehingga dianggap begitu istimewa? 

Dikalangan masyarakat Tionghua, limau mandarin mempunyai makna tersendiri. Kulit berwarna kuning keemasan dianggap sebagai simbol kemewahan, manakala rasa manis isinya sebagai tuah.

Namun sebenarnya limau mandarin memiliki rahsia dan kebaikan semulajadi dari segi penjagaan kesihatan. Sebiji limau mandarin mengandungi sekitar dua gram serat, yang mana 85% kandungannya adalah air. Hanya mengandungi 64 kalori, ia cukup baik untuk dijadikan sebagai pembuka selera. Semestinya  hidangan terbaik untuk mereka yang mahu mengurangkan saiz pinggang.  

Kini tiada lagi perut BOROI yang hodoh...


Terdapat beberapa varian limau mandarin seperti clementine, tangerine, minneola, dancy dan satsuma. Setiap satu memiliki rasa yang sedikit berbeza dari masam, manis dan masam-manis dengan sedikit pahit. 

Jika anda diberi pilihan minuman, ambillah jus orange segar kerana kandungan kalori dan gula yang jauh lebih rendah berbanding minuman ringan atau soft drink dalam botol atau tin.




Jumaat, 20 Januari 2012

Daun Tomato Rawat Jerawat


Penyelidik UIAM menunjukkan ekstrak daun tomato


Siapa tak kenal buah tomato yang sedap tu... Ramai yang menggemari rasanya; samada dimakan begitu sahaja atau ditambah kedalam masakan. "Emm... masak gulai pun sodap".

Tomato memang diketahui kaya dengan khasiat. Vitamin A, C, serat, zat besi, fruktosa, glukosa, asid folik, potasium, kalsium dan mineral garam. Tomato juga di ketahui kaya antioksida semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

Tapi siapa sangka daun tomato yang dianggap tidak berguna selepas tuai punya khasiat tersendiri? Amalan petani yang memusnah atau membakar sahaja daun tomato telah memberi ilham kepada seorang penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kajian selama dua tahun oleh sekumpulan lima penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mendapati daun tomato mempunyai nilai perubatan bagi masalah dermatologi.

Ujian makmal mendapati ekstrak daun tomato mempunyai ciri antikanser, meredakan bengkak dan mengurangkan radang kulit. Penghasilan krim daun tomato dijangka dapat membantu ramai pengguna dalam mencegah masalah kulit berjerawat. Selain sebagai alternatif rawatan kulit berjerawat, ia dikatakan lebih baik dan selamat kerana berasaskan bahan semulajadi dan tiada campuran kimia.



Isnin, 16 Januari 2012

Juice Orange Carbendazim?

Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkah memantau semua pati juice orange yang diimport dari Brazil. Langkah berjaga-jaga ini diambil selepas agensi berita Associated Press (AP) mendedahkan penemuan racun kulat carbendazim oleh Coca-Cola Co, Atlanta.

Menurut jurucakap Coca-Cola, Dan Schafer, unsur carbendazim dikesan di dalam juice orange yang diimport dari Brazil. Negara berkenaan merupakan sumber kedua bekalan juice orange Amerika Syarikat selepas Florida. Brazil merupakan negara pengeluar juice orange terbesar dunia dengan sekurang-kurangnya 15% dari hasil keluaran juice orange Brazil dieksport ke Amerika.

Dua syarikat gergasi, Coca-Cola dan  PepsiCo Inc. yang mana masing-masing terkenal dengan juice jenama Simply Orange and Minute Maid  serta jenama Tropicana's, turut mengimport bekalan juice orange dari negara Brazil. 

Terdahulu Coca-Cola telah mengesan kehadiran carbendazim sebanyak 35 ppb (part per billion). Kesatuan Eropah membenarkan kandungan racun kulat berkenaan sehingga 200 ppb, sedangkan penggunaan carbendazim tidak dibolehkan di Amerika.

Carbendazim adalah racun kulat jenis sistemik. Peladang Brazil menyembur carbendazim untuk mencegah serangan fungus  pada buah orange. Carbendazim ini didapati berkesan untuk melawan penyakit 'blight' dan lecur buah.







Ahad, 15 Januari 2012

Menopaus ancaman wanita

Menopaus atau putus haid adalah fenomena alami yang bakal dilalui oleh setiap wanita. Secara biologi, apabila usia meningkat, fungsi ovari akan menurun dan seterusnya hormon estrogen akan tergugat. Sehingga ke satu tahap dimana ia tidak mampu lagi untuk mengeluarkan telur dan menyebabkan kehadiran haid terhenti. 
Ramai kalangan wanita berasa bimbang berhadapan dengan gejala menopaus. Cepat atau lamba, berbeza diantara individu. Ada yang mendapat menopaus pada usia seawal 40an.

Satu kajiselidik yang dijalankan di Kuala Lumpur pada tahun 1989 mendapati, 48% wanita mengalami menopaus pada usia 40 - 45 tahun, 26% (46-50 tahun), 24% (51 - 55 tahun) dan 2% (56-60 tahun).

Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Datuk Dr. Nik Mohd Nasir Nik Ismail, menopaus akan menyebabkan berlaku gejala tertentu yang kurang selesa bertahun-tahun lamanya. Malah seringkali wanita berkenaan tidak menyedari dirinya melalui fasa menopaus.

Antara gejala menopaus yang dijangkakan adalah:
  • Kepanasan (hot flashes) dari dada naik ke muka dan kepala yang datang secara tiba-tiba. Ia boleh berlaku dalam jangkamasa beberapa saat hingga ke enam minit.
  • Berpeluh pada waktu malam. Boleh mengganggu keselesaan dan kurang tidur yang membawa gejala cepat marah dan kemurungan.
  • Kekeringan pada bahagian faraj. Hormon estrogen mempengaruhi organ reproduksi, dimana lapisan faraj menjadi nipis dan kering. Kekurangan pelincir boleh menyebabkan rasa sakit ketika hubungan intim bersama suami.
  • Rasa sakit-sakit badan (otot), tulang dan sendi. Senaman ringan seperti berjalan dan jogging dapat membantu dan menguatkan otot dan tulang.
  • Osteoporosis (tulang rapuh). Hormon estrogen merangsang sel osteoblas yang membentuk tulang. Kekurangan hormon ini boleh mengakibatkan tulang poros.
  • Kulit kering, berkedut dan iritasi
  • Masalah pundi kencing, misalnya terkencing ketika batuk
  • Masalah koronari jantung
Wanita yang melalui fasa ini patut menyedari perubahan fisiologi mereka dan mendapatkan bantuan supaya memperolehi kualiti hidup yang lebih baik. Antara gejala awal yang mudah dikesan adalah kedatangan haid yang tidak menentu iaitu kadangkala banyak dan kadangkala sedikit.

Saranan terbaik untuk menikmati kualiti hidup sehat adalah dengan mengekalkan kecergasan.
  • Lakukan aktiviti riadah seperti senaman ringan, jogging sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 30 minit setiap sesi.
  • Mengamalkan pengambilan makanan seimbang.
  • Berhenti merokok dan elakkan mengambil minuman keras.
  • Berfikiran secara positif
  • Melakukan pemeriksaan pap smear
  • melakukan pemeriksaan payudara
  • Mengambil “supplement” vitamin seperti multivitamin,EPO atau manjakani/kacip fatimah.
Gejala-gejala menopaus boleh diatasi dengan kaedah rawatan terapi penggantian hormon (HRT). Terapi dimaksudkan boleh melibatkan aplikasi hormon estrogen dan progesteron. Doktor akan melakukan beberapa ujian untuk menentukan tahap kesihatan dan jenis hormon yang sewajarnya.

Diantara ujian penilaian sebelum memulakan rawatan HRT termasuk:

  • Pemeriksaan menyeluruh termasuk payu dara dan pemeriksaan pelvis
  • Papanicolaou smear
  • Mammogram
  • Fasting lipid profile
  • Fasting glucose level
  • Liver function test

Walau bagaimanapun ramai wanita yang enggan melakukan terapi HRT kerana tidak mahu berhadapan dengan kesan sampingan. Diantara yang pernah dilaporkan terbahagi kepada dua:

Kesan sampingan ringan:

  • Payu dara sakit bila disentuh
  • Kekejangan
  • Membengkak
  • Murung
  • Loya dan muntah
  • Sakit kepala
  • Pendarahan dari faraj
Kesan sampingan berat:
  • Barah payu dara
  • Serangan sakit jantung
  • Angin akhmar (stroke)
  • Barah rahim bagi pengambilan estrogen dalam tempoh masa lama