Rata-rata dikalangan kita mula kembali kepada rutin pemakanan asal seperti sebelum Ramadhan. Tak hairanlah jika ada yang 'ter-over dose' sepanjang musim perayaan lalu... maklumlah ada sesetengah menu yang hanya boleh ditemui ketika raya sahaja. Ada kalanya pula 'terpaksa' makan untuk menjaga hati tuan rumah; jangan dikata tak sudi pula!
Bila diamati, kuih yang sering menjadi pilihan tetamu adalah kuih yang coklat. Samada kek coklat, almond london, maupun puding dan jely coklat. Secara umumnya mereka menggemari rasa unik lemak dan manis coklat.
Mungkin tidak ramai yang arif tentang kebaikan dan khasiat sebenarnya. Coklat dihasilkan dari biji koko. Ia kaya dengan flavonoid sejenis antioksidan, phenylethylamine, serotonine, kafein, vitamin dan unsur mineral.
Pembentangan hasil kajian oleh Oscar Franco di University of Cambridge, England pada 29 Ogos 2011 di Kongres Persatuan Kardiologi Eropah di Paris menyatakan amalan memakan coklat boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan stroke sebanyak 30%. Malah turut mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan sensitiviti insulin yang sering dikaitkan dengan masalah kencing manis.
Malangnya produk coklat yang dijual dipasaran telah diproses untuk tujuan komersial dengan menambah kandungan lemak makanan dan gula sehingga meningkatkan kalori ke tahap kurang sehat.
University of Birmingham telah memperkenalkan coklan hasil penyelidikan mereka yang di namakan sebagai 'coklat sihat'. Coklat rendah lemak ini mengandungi 60% air dengan aroma, rasa dan kelazatan coklat setanding coklat biasa.