Bersenam secara aktif ketika berpuasa boleh sebabkan berat badan naik?
Ramadhan adalah bulan mulia dan sering dinantikan oleh umat Islam. Sebagai bulan ibadah, bulan keberkatan dan bulan rahmat; dimana Allah menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda atas setiap amalan yang dilakukan.
Ada juga yang beranggapan, Ramadhan sebagai bulan menurunkan berat badan. Manakan tidak, sepanjang tahun aktif bersukan, namun berat badan semakin meningkat. Lantas kehadiran Ramadhan dinanti-nantikan...
Persoalannya, adakah benar bersenam secara aktif di siang hari ketika berpuasa dapat membantu menurunkan berat badan dengan lebih berkesan?
Berita Harian (11 Ogos, 2011) memetik Dr. N Baho petugas di unit kecemasan sebuah hospital di Jeddah sebagai berkata, bersenam secara aktif ketika puasa hanya akan menambahkan masalah kerana kehilangan air tidak dapat ditambah. Sebaliknya boleh menjurus kepada peningkatan berat badan.
Hakikatnya tubuh perlukan air dan gula untuk metabolisma. Tubuh juga akan menyelaraskan tahap metabolisma menjadi lebih perlahan kerana kekurangan makanan. Sedangkan selepas bersenam secara aktif anda akan berasa lebih lapar dan makan lebih banyak ketika berbuka. Akibatnya badan akan menyimpan lebih banyak lemak berbanding biasa.
Namun ada yang beranggapan sebaliknya. Misalnya bagi mereka yang aktif bersukan pada setiap petang. Pada tanggapan mereka, kegemukan boleh terjadi bila meninggalkan terus aktiviti lazim dan akhirnya mereka kehilangan mood untuk memulakan semula selepas Ramadhan. Tambahan pula badan mereka terasa semakin 'berat'!
Kesilapan dan salah tanggapan sedemikian memang sering berlaku kerana kita sendiri kurang faham dengan konsep ibadah puasa itu sendiri. Allah telah mengaturkan ibadah malam yang lebih baik untuk kita amalkan. Selepas berbuka dan solat isya', kita disarankan untuk bersolat tarawih; suatu amalan yang sekaligus memberikan manfaat jasmani dan rohani dengan ganjaran kesihatan dan pahala dari Allah.
Setiap pergerakan (rukun) dalam solat itu sendiri merupakan aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan otot dan sistem tubuh manusia. Malah, solat juga adalah terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul akan menghasilkan kesan positif terhadap tubuh dan sahsiah pengamalnya.