Ahad, 31 Mei 2009

Dilema Si 2 Wheeler I

Sabtu, Mei 30:
Sekitar jam 9:00 malam. Saya sedikit tersentak ketika memandu di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang. Menghampiri stesyen Petronas yang terletak berhampiran Seksyen 16 Shah Alam, lebuhraya kelihatan sesak sepanjang hampir 2 km. Rupa-rupanya ada kemalangan maut betul-betul dihadapan stesyen Petronas itu.

Kelihatan anggota Polis mengawal lalulintas. Melintasi tempat kemalangan, kelihatan mangsa telah ditutup plastik hitam, sebuah motorsikal dan topi keledar berwarna merah tercampak 2 meter dari mangsa. Darah tergenang sekitar mangsa. Namun tidak dapat dipastikan jumlah mangsa yang terbabit. Melihat situasi ini saya yakin kemalangan telah berlaku lebih dari 30 minit.


Motor mangsa tergolek terlalu hampir dengan laluan kereta. Namun saya tidak dapat pastikan samada mangsa terbabas ke laluan kereta atau mangsa tidak menggunakan laluan khas yang disediakan.
Satu persoalan muncul secara spontan. Mengapa kemalangan motorsikal berlaku di laluan atau berhampiran laluan kereta? Mengapa mereka tetap 'berdegil' tidak menggunakan laluan motor terutamanya pada waktu malam!?


Sekitar akhir tahun 80an ketika lebuhraya ini baru dinaiktaraf (bertol) hinggalah pertengahan tahun 90an (lebuhraya KESAS pula diibena), saya sering menunggang motorsikal di kedua-dua laluan ini samada menuju ke KL atau Shah Alam. Sehingga kini saya tidak nampak peningkatan ketara pada ciri keselamatan di laluan sikal di kedua-dua lebuhraya ini.


Seakan suatu standard, laluan motorsikal dimana-mana lebuhraya negara kita kelihatan cantik dan nyaman di tempat-tempat tertentu tetapi menyeramkan pada waktu malam. Sedangkan di tempat lain pula kita akan dikejutkan dengan kewujudan 'kolam ajaib' sejurus selepas hujan seperti yang saya pernah alami di sekitar PJ - Subang Jaya.


Di lebuhraya KESAS contohnya, masih ada laluan yang dipagari pokok bunga renek diantara laluan motor dan kereta. Selain lampu jalan tidak memadai, ada juga yang gagal berfungsi pada waktu malam. Lencongan jauh dan terowong diwujudkan bila ada susur masuk / keluar lebuhraya. Ini semua perlukan penelitian dan penyediaan ciri keselamatan sebaiknya untuk menjamin keselamatan penunggang motorsikal.


Kejadian samun di laluan motorsikal pada waktu malam di sekitar Lembah Kelang ini bukan isu terasing (isolated). Kes di Lebuhraya Guthrie, KESAS dan Persekutuan pernah dilaporkan, malah dialami sendiri oleh rakan sekerja. Dua modus operandai popular: mangsa ditahan serta diugut dengan senjata tajam dan mangsa dihalang dengan rentangan tali / dawai sehingga jatuh.


Pada tahun 2004, adik dan adik ipar saya sendiri pernah disamun di lebuhraya KESAS. Maklumat dari pehak Polis sendiri mengakui kes dilapurkan hampir setiap minggu. Dalam kebanyakan kes, mangsa dicederakan agar tidak dapat melawan; walaupun ada kes dimana penyerang ditumpaskan sehingga patah tangan dan kaki. Pastinya ia kes terpencil kerana target mereka dikatakan jurulatih seni beladiri!
Jika diamati, rasanya agak sukar untuk pehak Polis sendiri meronda dan berkawal di sepanjang lebuhraya selama 24jam, sepanjang 365 hari setahun sedangkan kes-kes kemalangan dan jenayah lainnya berlambak-lambak.


Tindakan proaktif yang effektif dan konsisten perlu diambil. Misalnya:
  • Pemandangan terbuka: Penunggang motor boleh dilihat dengan jelas dan mudah disedari oleh orang lain dari semua arah jika berlaku kecemasan.
  • Penglihatan jelas: Pencahayaan secukupnya sepanjang laluan terutama didalam terowong dan waktu malam.
  • Pemantauan penuh: Penggunaan kamera CCTV dibahagian yang jauh terpisah dari laluan kereta dan terowong.
  • Rondaan: Peronda lebuhraya nampaknya jarang / tidak kelihatan meronda laluan percuma ini!
  • Sistem saliran effektif: Laluan terowong yang sering ditenggelami air selepas hujan pasti mengundang padah.
  • Telefon kecemasan: Selain memudahkan mangsa mendapatkan bantuan, penjenayah mungkin dapat dipintas dihujung laluan jika bertindak pantas.

Jabatan Keselamatan Jalan Raya patut menekankan ciri-ciri keselamatan di laluan motorsikal di lebuhraya negara kita; tidak sekadar 'menekan' penunggang. Anda perlu melihat mengapa masih ada yang degil dengan berada di laluan yang tidak dibenarkan.

Akhir sekali, jangan kerana laluan motorsikal itu PERCUMA tidak bertol, maka pengguna terpaksa memperjudikan nasib bila menunggang di waktu malam.







Your Ad Here

Khamis, 14 Mei 2009

Ambulance atau Mini Hospital?

Siapa yang tidak pernah mendengar nama Dubai?
Bandaraya Dubai bukan sahaja gah, malah ia lebih dikenali berbanding nama negaranya sendiri; Emiriah Arab Bersatu! Apakah yang menjadikan nama ini mashur ke serata dunia, agaknya...


Saya pernah transit di lapangan terbang antarabangsa Dubai untuk ke Manchester. Saya fikir ia dua atau tiga atau lebih kali ganda besar saisnya berbanding KLIA. Dubai sememangnya dibangunkan untuk mengatasi kemegahan mana-mana bandaraya di dunia. Samada dari aspek kemajuan, kemewahan maupun kecanggihan teknologi.

Dubai sememangnya melambangkan kemewahan kotaraya dunia arab. Perkhidmatan kesihatan di Dubai turut menerima tempias kemewahan. Baru-baru ini Dubai telah melancarkan perkhidmatan ambulan terbesar dunia.

Tiga buah ambulan Mercedes-Benz Citaro dengan kelengkapan ruang rawatan intensif, termasuk mesin x-ray dengan 4 orang kakitangan pakar kesihatan. Ia boleh digerakkan ke kawasan bencana dengan segera dan memberikan rawatan kecemasan serta merta kepada sehingga 20 orang pesakit. Unit ambulan ini sebenarnya lebih kepada fungsi sebuah klinik mini bergerak dengan kemudahan bilik bedah.

Ambulance ini juga boleh menerima kelengkapan pembedahan caesarian. Malah ia jiga boleh dilengkapkan dengan unit inkubator jika diperlukan. Ini membolehkannya disesuaikan dengan keperluan semasa dalam menghadapi situasi krisis mengikut keadaan.

Kos untuk menyediakan kelengkapan sedemikian bukanlah suatu jumlah yang kecil, tetapi ianya berbaloi dan seimbang dengan kepesatan kemajuan kota Dubai. Ia sememangnya suatu persiapan yang meyakinkan dalam menghadapi segala kemungkinan bencana dunia moden.